Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed menyatakan pihak Polis Petaling Jaya hanya menerima notis penganjur pada jam 12.20 tengahari 8 Mei 2013 iaitu pada hari yang sama perhimpunan hendak diadakan. Ia adalah tidak menepati kehendak Sek 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurutnya lagi, tujuan Akta Perhimpunan Aman menetapkan tempoh 10 hari pemakluman kepada Ketua Polis Daerah adalah untuk memberikan peluang yang seadilnya kepada masyarakat di sekitar tempat perhimpunan untuk mengemukakan pandangan atau bantahan terhadap perhimpunan tersebut. Ia juga bertujuan untuk memberikan masa kepada polis untuk merancang tindakan untuk “facilitate” perhimpunan berkenaan sebaik yang mungkin agar memberi kesenangan kepada semua pihak.

PERHIMPUNAN DI STADIUM KELANA JAYA PADA 8 Mei 2013

1. Isu Pemakluman Perhimpunan Mengikut Akta Perhimpunan Aman

Notis dihantar oleh penganjur pada jam 12.20 tengahari 8 Mei 2013 iaitu pada hari yang sama perhimpunan hendak diadakan. Ia adalah menyalahi kehendak Sek 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012. Disebabkan kelewatan tersebut saya sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya telah menasihatkan kepada penganjur melalui wakilnya yang hadir supaya menangguhkan ke tarikh yang lain. Nasihat tersebut diberikan secara lisan dan secara bertulis.

Pada hari yang sama juga telah keluar dalam media sosial mengatakan bahawa perhimpunan tersebut telah mendapat “restu” dari Ketua Polis Daerah dengan memuat turun salinan surat yang dihantar oleh penganjur, sedangkan surat jawapan dari Ketua Polis Polis Daerah Petaling Jaya yang menasihatkan supaya perhimpunan ditangguhkan tidak dimasuk. Ini telah mengelirukan orang ramai kerana menganggap perhimpunan berkenaan telah mematuhi undang-undang.

2. Isu Kesesakan Lalulintas

Telah berlaku kesesakan lalulintas yang teruk di kawasan sekitar Kelana Jaya dan Sungai Way termasuk jalan-jalan utama terutama Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), NKVE, Jalan Lapangan Terbang Subang serta lain-lain jalan sekitar Petaling Jaya. Pihak polis menerima banyak rungutan dari orang ramai, dan telah cuba sedaya upaya untuk mengatasinya, namun bilangan kenderaan yang memasuki kawasan Kelana Jaya terlampau banyak melebihi kemampuan prasarana yang ada dan diluar kawalan.

3. Semangat di sebalik Akta Perhimpunan Aman

Tujuan kenapa Akta Perhimpunan Aman menetapkan tempoh 10 hari pemakluman kepada Ketua Polis Daerah adalah untuk memberikan peluang yang seadilnya kepada masyarakat di sekitar tempat perhimpunan untuk mengemukakan pandangan atau bantahan terhadap perhimpunan tersebut. Ia juga bertujuan untuk memberikan masa kepada polis untuk merancang tindakan untuk “facilitate” perhimpunan berkenaan sebaik yang mungkin agar memberi kesenangan kepada semua pihak. Oleh kerana perhimpunan di Stadium Kelana Jaya gagal mematuhi kehendak undang-undang berkenaan, ia telah membawa masalah bukan sahaja kepada masyarakat sekitar, tetapi juga kepada pengguna jalanraya sekitar Lembah Klang yang lain.

ACP Arjunaidi Bin Mohamed
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya