GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menjalankan sebanyak 1,041 serbuan dan menahan 1,054 individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian loteri awam tanpa lesen sejak awal Januari hingga 27 Sept lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata nilai rampasan melibatkan aktiviti berkenaan sepanjang tempoh itu ialah RM88,879.50.

"Bagi kegiatan perjudian secara dalam talian, polis Pulau Pinang menjalankan 605 serbuan dan sebanyak 630 individu ditahan dengan nilai rampasan berjumlah RM25,058 sepanjang tempoh yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mengambil tindakan terhadap kegiatan perjudian catit taruh atau bookie lumba kuda melalui 18 serbuan melibatkan 32 tangkapan dengan nilai rampasan sebanyak RM13,961.

Selain itu, Khaw berkata polis turut menjalankan Op Pemotongan Bekalan Elektrik dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad dan sebanyak 44 premis diambil tindakan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Jumlah itu termasuk operasi yang dijalankan pada Rabu lepas iaitu sebanyak 13 premis yang dipercayai dijadikan premis perjudian telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik," katanya.

Khaw berkata Polis Pulau Pinang sentiasa memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan sebarang penganjuran kegiatan perjudian serta tindakan berterusan akan diambil bagi menangani kegiatan haram terbabit.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian di Pulau Pinang agar terus menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis.

-- BERNAMA