Polis Daerah Putrajaya berjaya menyelesaikan 30 kes curi kereta dan 10 kes pecah rumah di sekitar Putrajaya, Lembah Klang serta Kelantan dengan penangkapan 15 individu dari dua kumpulan berbeza.

Menurut Ketua Polis Putrajaya, ACP Rosly Hassan, susulan penangkapan sejak bulan Julai lepas itu, polis berjaya merampas sejumlah 11 kenderaan pelbagai jenis, 70 telefon bimbit dan mesin pencetak yang digunakan untuk mencetak geran dan cukai jalan palsu bernilai RM400,000.

Polis juga mengesan taktik dan modus operandi yang digunakan kumpulan itu.

“Mereka ini seorang berdiri di belakang seorang berdiri di pintu depan. Bila sudah terbuka pintu, penggera kereta mula berbunyi. Bila buka sahaja kereta masa itulah lelaki di depan terus potong wayar penggera.

“Penggera itu tidak sempat berbunyi jadi mereka ini ada kepakaran. Tahu semua selok belok semua kereta yang mereka curi,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Menurutnya kebanyakan yang ditahan adalah penagih dadah dengan mempunyai kepakaran untuk menghasilkan cukai jalan dan geran kenderaan palsu serta membuat kunci pendua kereta.

Kumpulan itu dipercayai mula aktif sejak 2010 dengan mencuri kenderaan untuk dijual dengan harga yang rendah sebagai tukaran untuk mendapatkan bekalan dadah.

Kebanyakan kenderaan yang dicuri adalah di kawasan perumahan.

Setiap kereta dicuri dijual dengan harga serendah RM1,000 hingga RM5,000.

Antara jenama kereta yang dirampas Perodua lza, Myvi, Proton Saga serta Honda Civic.

Kes disiasat dibawah seksyen 379 A Kanun Keseksaan bagi kecurian kenderaan dan seksyen 457 Kanun Keseksaan melibatkan kes pecah rumah.