Skip to main content

Malaysia

Polis rampas 168 mesin Bitcoin di Sungai Siput dan Perak Tengah

SUNGAI SIPUT, 2 Sept - Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin (dua,kanan) menunjukkan barang rampasan berkaitan kejayaan membanteras kegiatan perlombongan Bitcoin dan kecurian bekalan elektrik di daerah Sungai Siput dan Perak Tengah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari (tiga,kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sebanyak 132 mesin bernilai RM395,000 dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Sungai Siput, manakala 36 lagi mesin bernilai RM105,000 dirampas di Seri Iskandar, Perak Tengah. - Foto Bernama
Advertisement

SUNGAI SIPUT: Polis merampas 168 mesin perlombongan Bitcoin dalam serbuan berasingan di empat buah kediaman di daerah Sungai Siput dan Perak Tengah, 31 Ogos lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata sebanyak 132 mesin bernilai RM395,000 dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Sungai Siput, manakala 36 lagi mesin bernilai RM105,000 dirampas di Seri Iskandar, Perak Tengah.

Beliau berkata serbuan pertama kira-kira 4 petang di sebuah kediaman di Sungai Siput Parade membawa kepada rampasan 58 mesin perlombongan Bitcoin, sebuah komputer riba dan dua router.

“Serbuan kedua kira-kira sejam kemudian di sebuah kediaman di Taman SS2 Perdana pula membawa kepada rampasan 26 mesin perlombongan Bitcoin, sebuah komputer riba dan sebuah router,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini hari ini.

Mohd Alwi berkata serbuan ketiga pada 6.30 petang di sebuah kediaman di Taman Alamanda membawa kepada rampasan 48 mesin dan sebuah router bersama penahanan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai penjaga kediaman berkenaan.

Katanya, hasil semakan awal mendapati lelaki yang ditahan mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan mendakwa tidak mengetahui mengenai kegiatan berkenaan di premis terbabit.

Sementara itu, beliau berkata dalam serbuan di Seri Iskandar, pihaknya turut merampas sebuah router, desktop switch dan segulung kabel elektrik yang telah dipotong. 

“Pemeriksaan awal mendapati kediaman berkenaan tidak mempunyai meter elektrik yang dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dipercayai menggunakan sambungan elektrik secara haram,” katanya.

Mohd Alwi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Beliau turut menasihati pemilik kediaman supaya sentiasa memantau premis yang tidak berpenghuni atau disewakan bagi memastikan ia tidak disalah guna sebagai lokasi kegiatan jenayah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement