Skip to main content

Malaysia

Polis rampas 98.73 kg syabu RM4.9 juta di Padang Besar

fotoBERNAMA
Suspek berusia 20 tahun itu, ditahan hasil operasi sepasukan anggota JSJN IPK Perlis dengan kerjasama PGA Batalion 1 Ulu Kinta, Perak, kira-kira 9 malam. - Gambar hiasan

KANGAR: Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 98.73 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.9 juta selepas menahan seorang lelaki tempatan dalam satu operasi berhampiran pondok kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan KTMB di Padang Besar pada Isnin lepas. 

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata suspek berusia 20 tahun itu, ditahan hasil operasi sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dengan kerjasama PGA Batalion 1 Ulu Kinta, Perak, kira-kira 9 malam.

Advertisement

“Pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu suspek, menemukan empat guni putih mengandungi serbuk disyaki syabu dengan berat keseluruhan 98.73 kg, yang dianggarkan bernilai RM4,936,600.

“Jumlah rampasan ini dianggarkan mampu merosakkan 493,650 individu sekiranya dadah berkenaan berjaya dipasarkan,” katanya pada sidang media di IPK Perlis, di sini hari ini.

Muhammad berkata siasatan awal mendapati suspek disyaki menggunakan laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand di daerah Padang Besar sebagai laluan untuk penyeludupan sebelum bekalan dihantar ke selatan tanah air.

Beliau berkata semasa operasi dijalankan, suspek bertindak agresif dengan memandu secara melulu sehingga membahayakan pasukan serbuan, menyebabkan satu das tembakan dilepaskan ke arah tayar kenderaan bagi melindungi nyawa anggota bertugas.

“Suspek mengalami kecederaan pada bahagian muka, tangan dan kaki selepas merempuh kenderaan pasukan serbuan,” katanya.

Muhammad berkata hasil saringan awal urin suspek mendapati dia positif ketamin, dan semakan rekod lampau mendapati lelaki itu mempunyai rekod berkaitan kes dadah dan ketum.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman dari 10 Feb hingga 16 Feb ini bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video