Polis menahan tujuh individu termasuk tiga wanita dan berjaya membongkar makmal memproses dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM534,000 dalam tiga serbuan di sekitar Pulau Pinang pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A. Thaiveegan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak sebulan lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang melancarkan operasi dan menyerbu sebuah rumah di Changkat Minden, Gelugor di sini pada pukul 3 pagi.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis menahan empat orang dan membongkar satu makmal memproses dadah yang beroperasi di rumah teres yang disewa sindiket itu sejak dua bulan lepas, dan siasatan awal mendapati mereka memproses dadah ekstasi di situ.

"Susulan itu, polis menyerbu sebuah apartment di kawasan pusat membeli belah Queensbay dan menahan dua individu, sebelum menyerbu sebuah lagi apartment di Sungai Dua, di sini, serta menahan seorang lagi anggota sindiket memproses serta mengedar dadah berkenaan," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya polis merampas pelbagai jenis dadah dan bahan kimia untuk menghasilkan dadah serta pelbagai peralatan untuk memproses dadah daripada tiga buah rumah yang diserbu itu.

Thaiveegan berkata polis turut merampas 12 butir peluru dan sedang berusaha mengesan senjata api sindiket itu.

"Antara dadah yang kami rampas ialah 3.4 kilogram (kg) esktasi, syabu (3.5kg), heroin (2.3kg), kafein (22kg), 1,800 biji pil yaba, 218 biji pil ekstasi dan pelbagai jenis bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah," katanya.

Beliau berkata dipercayai tujuh individu berusia 26 hingga 58 tahun yang merupakan anggota sindiket memproses dan mengedar dadah dengan berpindah randah bagi mengelak dikesan pihak polis dan pasaran dadah yang diproses mereka adalah untuk negeri-negeri di utara.

Katanya, lelaki berusia 58 tahun yang ditahan dalam serbuan itu merupakan dalang utama sindiket berkenaan dan dipercayai dia juga mempunyai kepakaran untuk memasak serta memproses dadah.

"Semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 36,500 penagih dadah dan dalam tiga serbuan berkenaan polis turut menyita empat buah kereta mewah pelbagai jenama, sebuah motosikal, barang kemas, jam tangan, akaun bank serta wang tunai RM6,780. Nilai keseluruhan sitaan sekitar RM390,188.44," katanya.

Katanya dalang utama sindiket berkenaan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan semua mereka yang tidak bekerja itu kini direman sehingga 7 Nov ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952.

-- BERNAMA