TANAH MERAH: Polis merampas 36,200 biji pil yaba dan 183 gram syabu bernilai RM398,600, dalam dua serbuan berasingan sempena Ops Tapis di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata serbuan pertama yang dilakukan di sebuah rumah di Perumahan JPN dekat Batu 11, pada 6 petang.

"Polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang berada di dalam rumah tersebut. Pemeriksaan terhadap suspek telah menemukan 200 biji pil disyaki pil yaba dan 183 gram dadah disyaki Syabu, dengan anggaran nilai sebanyak RM 38,600.00," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Haki berkata rampasan kedua dilakukan pada 6.45 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tanah Merah selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang sedang menunggang sebuah motosikal di tepi jalan Kampung Batu Gajah.

"Pemeriksaan lanjut oleh polis telah menemukan enam bungkusan berwarna kuning berisi pil kemerahan dan kehijauan, yang disyaki dadah pil yaba berjumlah 36,000 biji dengan anggaran berat 4.48 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM360,000," katanya.

Beliau berkata ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamin.

"Kedua-dua suspek telah ditahan reman bermula hari ini sehingga Sabtu (16 Sept) bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA