Skip to main content

Malaysia

Polis Sabah rampas dadah RM6.14 juta dalam tiga operasi sepanjang Ogos

PESURUHJAYA POLIS SABAH DATUK JAUTEH DIKUN
Jauteh berkata sepanjang pelaksanaan Ops Bayu, JSJN Sabah telah menahan 41 individu, dengan 20 daripadanya dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KOTA KINABALU: Polis Sabah merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih 100 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM6.14 juta menerusi tiga operasi di Kudat, Papar dan Penampang bulan lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata rampasan itu membabitkan 49.9 kg bunga ganja dan ganja bernilai RM3.56 juta, 1.624 kg syabu bernilai RM81,200 serta 50 kg syabu bernilai RM2.5 juta.

Beliau berkata dalam operasi di Kudat pada 20 Ogos, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun di Gelanggang Bola Tampar Kampung Tanjong Kapor kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Isteri lelaki itu, seorang warga asing berusia 32 tahun, turut ditahan kira-kira 10 minit kemudian di tepi jalan Kampung Tanjong Kapor dan polis merampas 75 peket disyaki bunga ganja seberat 44.3 kg serta 10 peket disyaki ganja seberat 5.6 kg.

Beliau berkata dadah bernilai RM3.56 juta itu dianggarkan mampu menampung kira-kira 99,800 penagih bagi sekali penggunaan, manakala kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Kudat pada 28 Ogos.

Dalam kes berasingan di Papar dan Penampang pada 19 Ogos, polis menahan dua lelaki dan dua wanita serta merampas 1.624 kg syabu bernilai RM81,200.

Menurut beliau, tangkapan pertama dilakukan di sebuah rumah di Papar, sebelum serbuan susulan membawa kepada penahanan dua wanita bersama kira-kira 1.02 kg syabu di tepi jalan kawasan berkenaan.

Siasatan lanjut dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Penampang kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang disyaki sebagai pembekal di Putatan.

Kesemua empat suspek berusia antara 35 dan 42 tahun direman hingga esok, manakala dadah dirampas dipercayai untuk pasaran Papar dan mampu menampung kira-kira 2,914 penagih bagi sekali penggunaan.

Sementara itu, dalam Ops Bayu 14 di Penampang pada 25 Ogos, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 45 dan 46 tahun serta merampas 50 kg syabu bernilai RM2.5 juta.

Jauteh berkata polis yang menjalankan pemerhatian di hadapan sebuah premis di Jalan Bundusan,  mengesan beberapa kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum melihat seorang daripada suspek memindahkan beberapa bungkusan plastik disyaki dadah.

Pemeriksaan ke atas sebuah Toyota Vios menemukan 28 bungkusan disyaki syabu seberat 28 kg, manakala 22 lagi bungkusan seberat 22 kg ditemukan dalam sebuah Perodua Bezza.

Beliau berkata dadah berkenaan dianggarkan mampu menampung kira-kira 1.43 juta penagih bagi sekali penggunaan dan kedua-dua suspek direman hingga esok.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata sepanjang pelaksanaan Ops Bayu, JSJN Sabah telah menahan 41 individu, dengan 20 daripadanya dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement