KOTA KINABALU: Tahap keselamatan antara sempadan tiga negara Kepulauan Borneo ini akan terus menjadi jaminan utama pihak Polis Sabah.

Lebih-lebih lagi dengan rancangan Indonesia yang bakal menempatkan ibu negara baharunya di Kalimantan menerusi sebuah projek mega yang berterusan sehingga tahun 2045.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, untuk itu, satu batalion polis baharu akan dicadangkan dalam memastikan tahap keselamatan sama ada perairan atau persempadan terus terjamin.

"Berkaitan keselamatan persempadanan di antara Malaysia (Sabah), khususnya di Kalimantan di mana (sebuah lokasi di) Kalimantan akan dibangunkan sebagai ibu negara Indonesia dan memang kita tidak nafikan memang wujud ancaman baharu di antara sempadan.

"Yang penting sekali ancaman berkaitan penyeludupan iaitu penyeludupan contraband (barang terlarang) dan kes-kes penyeludupan manusia. Apabila nanti tahun 2045, pembangunan ibu kota Indonesia akan siap sepenuhnya dan dijangka lebih 100 juta penduduk daripada Pulau Jawa akan dibawa masuk ke Kalimantan.

"Ini akan membawa isu baharu, masalah baharu dan (mengancam) kedaulatan negara kita. Kita telah  merancang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM pusat untuk mewujudkan batalion baharu dan briged baharu di sempadan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu hari ini.

Mengulas lanjut, Hazani mendedahkan, batalion berkenaan dijangka diwujudkan di kawasan pedalaman Sabah iaitu daerah Pensiangan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sempadan daratan Kalimantan, Republik Indonesia.

"Pihak ATM juga akan mewujudkan briged sempadan antara Kalimantan dan Sabah.

"Saya akan mencadangkan satu batilion baharu di kawasan pedalaman khususnya di kawasan Pensiangan," katanya lagi.

Untuk rekod, Indonesia kini dalam perancangan memindahkan pusat pentadbiran negara itu dari Jakarta ke sebuah tapak baharu di Kalimantan.

Sabah merupakan salah sebuah negeri yang sentiasa menjadi sasaran ancaman jenayah termasuklah insiden membabitkan jenayah rentas sempadan, penculikan, penyeludupan dan lain-lain berikutan faktor geografinya yang berdekatan dengan sempadan tiga negara Borneo iaitu Indonesia, Filipina dan Brunei.