KANGAR: Polis mengesahkan rangka yang ditemukan dalam bungkusan guni di kawasan kebun berhadapan sebuah kilang di sini pada 26 Julai ialah rangka manusia.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya sedang mengesan identiti individu terlibat dan menjalankan siasatan sama ada wujud unsur jenayah dalam penemuan itu.
“Tulang disahkan tulang manusia. Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis masih meneruskan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 26 Julai, Yusharifuddin memaklumkan polis menerima maklumat mengenai penemuan guni itu daripada seorang lelaki yang melakukan kerja meracun di kebunnya.
-- BERNAMA