SHAH ALAM: Polis berjaya menyekat komunikasi seorang lelaki warga Pakistan yang meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh pada Jumaat lalu, sekali gus menyukarkan suspek untuk mendapatkan bantuan luar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kekangan komunikasi itu merupakan elemen penting dalam usaha menjejaki suspek yang kini dipercayai masih berada di sekitar kawasan Sungai Buloh.
Advertisement
“Pada waktu ini, kita percaya bahawa suspek masih belum berkomunikasi dengan rakan-rakan yang lain.
“Hasil daripada tindakan pihak polis, kita telah berjaya untuk menghalang proses komunikasi tersebut berlaku,” jelasnya ketika Sidang Media Ketua Polis Selangor, di sini, pada Isnin.
Tambah Shazeli, operasi memburu suspek terus dipergiat dengan penglibatan pelbagai agensi serta unit khas termasuk pasukan darat dan udara bagi memperluas pencarian.
“Kita yakin dalam waktu terdekat ini akan memperoleh perkembangan positif hasil operasi bersepadu yang sedang dijalankan.
“Operasi ini melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara dan beberapa unit teknikal juga membantu, kekuatan tenaga kerja kami ramai,” kata Shazeli.
Sementara itu, satu kertas siasatan turut dibuka bagi melihat kemungkinan berlaku kecuaian atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang menjadi punca kejadian tersebut berlaku.
“Banyak pihak telah dirakam keterangan terdiri daripada pihak polis, pihak Jabatan Penjara serta tahanan penjara yang menjadi saksi kejadian tersebut.
“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat, namun beberapa anggota telah dihadkan daripada menjalankan tugas aktif sementara siasatan berlangsung,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan kesalahan bagi penjawat awam cuai sehingga menyebabkan orang tahanan melarikan diri dari kurungan.
Jika sabit kesalahan, penjawat awam boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan melarikan diri atau cubaan melarikan diri daripada tahanan yang sah oleh seseorang yang telah ditahan atas kesalahan jenayah.
Mengikut rekod, lelaki warga Pakistan itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.