IPOH: Polis merampas pil Erimin 5 bernilai RM30.6 juta dalam serbuan di sebuah banglo dua  tingkat yang dijadikan kilang memproses dadah di Klebang, Chemor dekat sini pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, dua lelaki berusia 44 tahun telah ditahan dalam serbuan jam 9.30 pagi itu.

“Dalam operasi berkenaan, pasukan JSJN Bukit Aman berjaya merampas dadah pil Erimin 5 anggaran berat 413.92 kilogram (kg), serta serbuk Erimin 5 anggaran 25.33 kg.

“Jumlah dadah yang dirampas ini dianggar boleh digunakan oleh seramai 2.2 juta orang penagih dadah.

“Turut dirampas mesin-mesin serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus dadah selain dua laras senjata api tiruan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Jabatan JSJN Negeri, ACP Lee King Chuan.

Ujar  Mohd Kamarudin, dua suspek dipercayai aktif dalam memproses dadah sejak awal Mac lalu dan mengedar bahan terlarang itu bagi pasaran tempatan serta luar Perak.

Menurutnya lagi, hasil ujian saringan air kencing  mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine selain kedua-duanya mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Tambahnya hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang tidak berkerja itu dipercayai mempelajari cara-cara memproses dadah berkenaan melalui media sosial dan rakan-rakan.

“Dalam operasi itu, JSJN turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Altis, sebuah motosikal jenis Honda EX5, dua cincin warna kekuningan, dan wang tunai berjumlah RM1,624.

“JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya lagi.

Mohd Kamarudin berkata kedua-dua suspek yang ditahan direman selama enam hari bermula Rabu, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1960.