Skip to main content

Malaysia

Polis siasat dakwaan kebocoran maklumat kenaikan pangkat pegawai ATM - Khaled

PETALING JAYA, 16 Feb -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW) di Dewan Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Menara Prasarana hari ini._BERNAMA
Mohamed Khaled bercakap pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW) di Dewan Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Menara Prasarana hari ini. - Foto Bernama.

PETALING JAYA: Siasatan berhubung penularan maklumat sulit perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijalankan oleh pihak polis, dan bukan disiasat Kementerian Pertahanan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini kementerian belum menerima sebarang makluman lanjut mengenai perkembangan kes tersebut.

Advertisement

“Perkara ini berada di bawah bidang kuasa polis dan bukannya kementerian.

"Sebarang pertanyaan lanjut perlu dirujuk terus kepada pihak yang menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW) di Dewan Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Menara Prasarana hari ini.

Sebelum ini, Khaled menjelaskan bahawa maklumat terbabit tersebar secara terbuka sebelum pelantikan jawatan pegawai kanan tertinggi ATM, termasuk Panglima Angkatan Tentera (PAT), memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau menegaskan proses pelantikan jawatan tertinggi dalam ATM mesti melalui perbincangan Majlis Angkatan Tentera (MAT), yang akan mengemukakan cadangan rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menambah bahawa kementerian akan terus memantau perkembangan kes dan bekerjasama dengan pihak polis jika diperlukan.

Ini bagi memastikan proses pelantikan dan operasi ATM berjalan lancar tanpa gangguan.

Beliau menekankan bahawa pendedahan nama, jawatan dan pelantikan pegawai kanan ATM boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Malah katanya, maklumat sedemikian tidak pernah didedahkan kerana ianya perkara sensitif.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, pada Jumaat lalu berkata, pihaknya sudah merakam keterangan individu tertentu bagi membantu siasatan itu.

Katanya, siasatan berhubung perkara ini masih diteruskan dan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pada 19 Januari lalu, Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan sudah membuat laporan polis susulan kebocoran maklumat kenaikan pangkat pegawai kanan ATM.

Must Watch Video