JOHOR BAHRU: Polis telah menyiasat dua pegawai kanannya yang didakwa mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang lelaki tempatan sejak 31 Dis tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata dua pegawai kanan polis yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan itu, menafikan mempunyai kaitan dengan kehilangan K. Thiagaraj, 47.

"Semakan dalam sistem mendapati tiada sebarang laporan polis berkaitan tangkapan atau penemuan berkaitan orang hilang dan setakat ini, tiada penglibatan mana-mana anggota polis dalam kes orang hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis juga menjalankan siasatan terhadap tiga lelaki di Klang, Selangor yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes tersebut, dan mendapati mereka tidak pernah berhubung atau mempunyai maklumat selepas lelaki itu dikenakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLK) 1985.

Menurutnya siasatan di lokasi kejadian dan kawasan sekitar turut dijalankan pegawai penyiasat kes termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa premis.

"Bagaimanapun, keputusan analisis forensik CCTV di tempat kejadian tidak dapat mengenal pasti individu serta nombor pendaftaran kenderaan digunakan yang disyaki orang terakhir berhubung dengan orang hilang," katanya.

Terdahulu, Mohd Sohaimi berkata polis mengesan satu hantaran di laman Facebook 'Sri Boss' mendakwa, anggota polis menyembunyikan bapanya setelah beliau melihat rakaman CCTV berdurasi 1 minit 52 saat, yang turut dikongsikan pautannya.

Beliau berkata polis juga menerima empat laporan daripada ahli keluarga orang hilang berhubung kes itu pada 28 Jan lepas.

Katanya siasatan serta tindakan mengesan Thiagaraj masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Mazly Samit di talian 010-9598898, pusat kawalan IPD Seri Alam di 011-21775118 atau mana-mana balai polis berdekatan.

-- BERNAMA