KOTA BHARU: Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden pergaduhan melibatkan beberapa lelaki dan wanita dipercayai bergaduh kerana berebut pelanggan di kawasan gerai makan laman Pasar Siti Khadijah dekat pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis daripada kedua-dua belah pihak bersabit kejadian terbabit pada hari yang sama, bagaimanapun beberapa jam kemudian mereka telah menarik balik laporan tersebut.

Menurutnya, tindakan kedua-dua pihak yang cuba menarik balik laporan polis dengan tujuan untuk selesaikan kes adalah bukan penyelesaiannya kerana kesan yang telah dilakukan mereka itu telah menjejaskan keamanan masyarakat secara amnya.

"Jadi pihak polis akan terus menjalankan siasatan lanjut dan tindakan susulan akan diambil kerana tidak mahu orang ramai akan terbiasa dengan tindakan sendiri dengan membelakangi peruntukan undang-undang semasa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan kesemua yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun atau dikenakan denda atau dengan kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Rosdi berkata, kejadian berlaku pada jam 5 petang itu tular apabila video berdurasi 1 minit 22 saat itu dikongsi orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp.

"Di mana dalam video tersebut memaparkan kejadian pergaduhan antara beberapa orang lelaki termasuk wanita sambil dileraikan oleh orang ramai.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada isu berebut pelanggan di antara peniaga-peniaga gerai makan di laman Pasar Siti Khadijah," katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan saksi kejadian di minta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi talian 012-8772106 atau 09-7752200 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Sinar Harian