DUYONG: Pertemuan secara kebetulan ketika mendapatkan bantuan menjadi titik permulaan hubungan dua individu yang kemudiannya tular di media sosial.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata Uncle Wong dan Dak Nor pada asalnya hadir untuk mendapatkan bantuan sebelum interaksi mereka yang dirakam menarik perhatian ramai.
Menurutnya, kedua-dua pertemuan itu tidak dirancang, sebaliknya berlaku ketika beliau menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
"Kedua-duanya hadir kepada saya secara kebetulan. Mereka datang meminta bantuan. Kita tidak pernah mendiskriminasikan sesiapa dalam urusan kita.
"Kebetulan perkara itu dirakam. Beberapa pegawai saya melihat ia sesuai dikongsikan dan akhirnya menjadi hangat," katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI pada Ahad lalu.
Uncle Wong atau nama sebenarnya Vong Fook Hoi mula dikenali ramai selepas mendapatkan bantuan alat pendengaran daripada Mohd Noor Helmy.
Sementara itu, Nor Kamariah Mohd Khalid Lourdes Lio atau lebih dikenali sebagai Dak Nor turut mencuri perhatian menerusi kisah kehidupannya yang mendapat perhatian pengguna media sosial.
Dak Nor mempunyai sejarah penyakit skizofrenia sejak 2008, namun keadaan kesihatannya dilaporkan semakin baik dan beliau kini aktif menjana pendapatan menerusi media sosial.
Malah, beliau menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal 2025 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Mengulas mengenai hubungan itu, Mohd Noor Helmy berkata interaksi bersama kedua-dua individu berkenaan bukan sesuatu yang luar biasa baginya meskipun mendapat perhatian masyarakat.
Beliau berpandangan layanan sama rata terhadap individu daripada pelbagai latar belakang mampu memberikan kesan positif, terutama kepada mereka yang berdepan cabaran kehidupan.
"Apabila kita ada keinginan melayan orang secara sama rata, orang yang sebelum ini kita pandang hina pun boleh mengubah diri mereka dan menjadi lebih bermanfaat kepada diri sendiri," katanya.
Hubungan yang bermula daripada permohonan bantuan itu berterusan apabila Uncle Wong dan Dak Nor hadir mengiringi Mohd Noor Helmy pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Sabtu lalu.
Dalam pilihan raya kali ini, Mohd Noor Helmy yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kerusi DUN Duyong daripada cabaran calon Pakatan Harapan (PH) mewakili DAP, Poo Long Suan.
Pada PRN Melaka 2021, Mohd Noor Helmy memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan calon DAP, Damian Yeo Shen Li, dengan majoriti 200 undi.