SHAH ALAM: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faizal berkata beliau telah mengarahkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Langat membuka kertas sisatan berhubung kematian seorang tahanan di ibu pejabat polis daerah itu, Isnin lepas.

Beliau berkata siasatan akan ditumpukan kepada tiga aspek, perbuatan khianat, kaedah penjagaan tahanan dan pematuhan prosedur operasi standard

"Setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut dan polis menerima laporan daripada isteri tahanan, " katanya ketika mengulas perkembangan perkara itu menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Sebuah portal berita melaporkan hari ini seorang ibu beranak lima mahukan jawapan ke atas kematian suaminya seorang pemandu lori berusia 49 tahun semasa ditahan di Banting, Isnin lepas.

Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata dalang satu sindiket kegiatan haram dikenali bergelar "Datuk" akan didakwa dengan tiga pertuduhan di Mahkamah Selayang, Gombak pada 9.30 esok.

Katanya, pertuduhan terhadap suspek berusia 40 tahun itu akan dijalankan dibawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan isterinya yang berusia 41 tahun juga akan didakwa di bawah seksyen dan akta sama.

Sebelum ini, media melaporkan sindiket kegiatan haram didalangi seorang lelaki bergelar "Datuk" itu tumpas susulan penahanan 15 individu warga tempatan di sekitar Rawang, Gombak dalam operasi khas pada 6 Julai dan 11 Ogos lepas.

Hasil siasatan polis turut mendapati lelaki tersebut menjalankan kegiatan haram antaranya aktiviti perjudian dalam talian, pelombongan 'bitcoin' dan peminjaman wang tanpa lesen (along) secara berperingkat sejak 2014.

-- BERNAMA