JOHOR BAHRU: Polis sedang menyiasat kes kematian seorang wanita berusia 29 tahun dipercayai akibat membuat rawatan kecantikan di sebuah pusat kecantikan di Mutiara Rini, Skudai.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, ia susulan suami mangsa telah membuat laporan kejadian berkenaan pada jam 12.31 tengah hari, 2 Ogos.

"Laporan dibuat seorang lelaki tempatan menyatakan isterinya meninggal dunia akibat daripada membuat rawatan kecantikan di sebuah pusat kecantikan di Mutiara Rini.

"Selepas rawatan dibuat, mangsa mengalami sakit berterusan dan mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital swasta. Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital tersebut pada kira-kira jam 7.08 pagi, 2 Ogos," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Rahmat, siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang awam diminta tidak membuat sebarang spekulasi.

Sebelum itu, tular di media sosial kematian seorang ibu kepada dua anak yang maut selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada prosedur pembesaran payudara asid hyaluronik.

Sementara itu Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, setakat ini Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih belum menerima aduan rasmi berhubung kes tersebut.

Justeru, meminta ahli keluarga mangsa agar membuat aduan kepada JKNJ agar siasatan dapat dilakukan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

"Orang awam perlu memastikan pusat kecantikan mempunyai sijil dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum menerima apa-apa rawatan," katanya menerusi muat naik di Facebooknya pada Selasa.

Tian Soon sebelum itu, mengunjungi keluarga mangsa yang meninggalkan dua orang anak berusia sembilan dan 12 tahun serta telah merancang bercuti bersama kawan dan keluarga pada hujung tahun ini.

- Sinar Harian