KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat motif dan kaitan serangan melibatkan tiga pemain bola sepak kebangsaan, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan memandangkan polis masih lagi mengumpul keterangan.

"Kita belum sampai lagi pada motif itu. Kalau kita dapat motif, kita mungkin boleh cakap adakah (kes) ini dirancang dijadikan satu jenayah," katanya pada sidang media di Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes simbah asid melibatkan pemain Selangor FC, Faisal Halim, Razarudin memaklumkan polis masih menjejaki suspek berdasarkan lakaran yang diedarkan, hasil maklumat tiga saksi kejadian.

Menurutnya, setakat ini polis sudah merakam keterangan 23 individu, namun keterangan terbabit masih belum mencukupi.

Beliau turut menjelaskan, proses mengesan cap jari suspek di lokasi juga tidak banyak membantu memandangkan hanya tiga daripada lapan cap jari yang diperoleh didapati sempurna, manakala bakinya sukar dikenal pasti.

Razarudin dalam pada itu meminta orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berhubung insiden berkenaan.

Polis sebelum ini menahan tiga individu, namun telah dibebaskan selepas siasatan mendapati mereka tidak mempunyai kaitan dengan kejadian kes.

Pada 2 Mei lalu, dua perompak menyerang pemain sayap Terengganu FC Akhyar Rashid selepas pulang dari latihan.

Tiga hari kemudian, pemain sayap Selangor FC Faisal Halim disimbah asid di sebuah pusat beli-belah, menyebabkan dia melecur tahap empat dan memerlukan pembedahan.

Pada 7 Mei pula, cermin kereta pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim telah dipecahkan ketika dia pulang dari latihan.