Skip to main content

Malaysia

Polis siasat penemuan objek menyerupai bom tangan, nota ugutan di kilang papan Bukit Selambau

POLIS melakukan siasatan di lokasi penemuan objek menyerupai bom tangan dan nota berbaur ugutan di sebuah kilang papan di Bukit Selambau, Sungai Petani.  Foto AWANI
Siasatan awal mendapati objek berkenaan ditemui seorang pekerja kira-kira jam 10 pagi di hadapan pintu utama pejabat yang menjadi laluan harian kakitangan. -Foto Astro AWANI
Advertisement

SUNGAI PETANI: Pekerja sebuah kilang papan di Bukit Selambau dekat sini gempar susulan penemuan satu objek menyerupai bom tangan bersama sekeping nota berbaur ugutan di hadapan pintu masuk pejabat pentadbiran premis itu pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang pekerja wanita berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Susulan laporan, sepasukan anggota daripada Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Image
POLIS melakukan siasatan di lokasi penemuan objek menyerupai bom tangan dan nota berbaur ugutan di sebuah kilang papan di Bukit Selambau, Sungai Petani.Foto AWANI

"Hasil pemeriksaan mendapati objek itu menyerupai bom tangan, namun ia tidak lengkap dan tidak berfungsi.

"Secara fizikal, ia menyerupai bom tangan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti bahan yang digunakan sama ada diperbuat daripada besi, kayu atau bahan lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Hanyan berkata polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati objek berkenaan ditemui seorang pekerja kira-kira jam 10 pagi di hadapan pintu utama pejabat yang menjadi laluan harian kakitangan.

Image
POLIS melakukan siasatan di lokasi penemuan objek menyerupai bom tangan dan nota berbaur ugutan di sebuah kilang papan di Bukit Selambau, Sungai Petani.Foto AWANI

"Sepanjang tempoh 10 tahun operasi kilang itu, ini merupakan kejadian pertama seumpamanya.

"Kita juga sedang mendapatkan keterangan saksi dan pihak pengurusan bagi mengenal pasti motif kejadian serta sama ada pernah berlaku ugutan sebelum ini," katanya.

Image
POLIS melakukan siasatan di lokasi penemuan objek menyerupai bom tangan dan nota berbaur ugutan di sebuah kilang papan di Bukit Selambau, Sungai Petani.Foto AWANI

Tambahnya, nota yang ditinggalkan ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan dakwat merah dan mengandungi mesej meminta supaya operasi dihentikan.

"Bagaimanapun, lokasi objek itu ditemui tidak diliputi kamera litar tertutup (CCTV).

"Kita masih menyiasat maksud sebenar mesej tersebut dan operasi yang dimaksudkan dalam nota itu," katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement