PASIR MAS: Polis menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah dalam Ops Tapis Bersepadu Narkotik yang dijalankan selama tiga hari bermula Isnin lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas Supt Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata masing-masing yang berusia 26 dan 35 tahun ditahan dalam serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

"Lelaki pertama ditahan di sebuah rumah di Kamping Teraji, Tok Uban pada 6.30 petang, Isnin, bersama 1,605 pil disyaki yaba yang dianggar seberat 165 gram bernilai kira-kira RM16,500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki kedua ditahan ketika menaiki sebuah kereta berhampiran Lemal, dekat sini, pada 12.30 tengah hari semalam dan pemeriksaan terhadapnya menemukan 510 biji pil disyaki yaba bernilai RM5,100.

Katanya, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine itu kini direman hingga Selasa bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA