IPOH: Polis menahan empat lelaki di dua lokasi berasingan di sekitar Ipoh kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah bernilai RM2.54 juta, pada Khamis, minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dua lelaki berumur 25 dan 36 tahun ditahan di Klebang Tropika, dekat sini pada jam 5 petang.

Katanya hasil pemeriksaan di sebuah kereta, pihak polis menemukan dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 72.5 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM2.54 juta.

Ujarnya susulan itu, polis menahan dua lagi lelaki lain berusia 30 dan 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti sama dalam satu serbuan di Kampung Rapat, di sini, pada hari sama.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas keempat-empat suspek mendapati salah seorang daripada mereka yang berumur 40 tahun, positif dadah jenis Methamphetamine.

“Hasil semakan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Isnin.

Menurut Mohd Yusri, polis turut menyita dua buah kereta, satu motosikal, serta dua barang kemas di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan anggaran nilai RM74,267.

Selain itu jelasnya, berdasarkan kepada siasatan yang dijalankan aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan keempat-empat suspek dipercayai aktif sejak Mei lalu.

“Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak yang mana dianggarkan jumlah dadah dirampas boleh digunakan seramai 145,000 penagih dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 28 Julai,” ujarnya lagi.