KUALA LUMPUR: Polis menahan enam lelaki selepas disyaki memukul dan melarikan wang tunai RM18,500 daripada seorang ahli perniagaan kerana gagal membayar hutang berjumlah RM500,000.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi semalam, mangsa sedang berada di pejabatnya di Pandan Perdana di sini bersama dua rakan perniagaan dan pemandunya sebelum didatangi kumpulan lelaki terbabit yang mahu berbincang tentang wang dipinjam ahli perniagaan berusia 56 tahun itu.

"Mangsa bagaimanapun tidak dapat menjelaskan hutang itu lalu dipukul sehingga mengalami bengkak di bahagian mata kiri serta cedera di kepala dan hidung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wang tunai milik mangsa turut dilarikan kumpulan lelaki terbabit.

Mohd Azam berkata bertindak atas laporan, kesemua lelaki tempatan berumur 30 hingga 38 tahun itu ditahan dalam serbuan polis di sebuah kondominium di Puchong di sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata kesemua suspek negatif ujian saringan dadah, namun empat daripada mereka mempunyai antara satu hingga empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurutnya, kesemua suspek direman hingga Sabtu ini (26 Ogos) bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak berkumpulan sehingga mendatangkan kecederaan.

-- BERNAMA