Skip to main content

Malaysia

Polis tahan enam lelaki, seorang wanita kes curi kabel di Temerloh

TEMERLOH, 21 Sept - Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Nasyim Bahron (tengah) menunjukkan barang kes kecurian kabel syarikat utiliti dan telekomunikasi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh hari ini. Terdahulu, pihak polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita yang disyaki mendalangi kegiatan berkenaan menerusi siri serbuan dari 15 hingga 19 September lepas. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Nasyim bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

TEMERLOH: Polis menahan enam lelaki serta seorang wanita disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel syarikat utiliti dan telekomunikasi menerusi beberapa serbuan di sini dari 15 hingga 19 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Nasyim Bahron berkata suspek berusia dalam lingkungan 16 hingga 40 tahun itu dipercayai terlibat kes kecurian kabel Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad dari Jun lepas hingga kini. 

“Siasatan mendapati dua daripada mereka menganggotai kumpulan jenayah ‘Geng Mat Letrik’, seorang anggota ‘Geng Mista’ dan empat lagi daripada ‘Geng Sasi’. Empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah methamphetamine. Pelbagai barangan dirampas dalam serbuan itu, antaranya kabel, kenderaan dan alat pemotong kabel dianggarkan berjumlah RM50,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini hari ini. 

Mohd Nasyim berkata polis sedang giat mengesan enam lelaki daripada “Geng Mista” serta “Geng Sasi” yang masih bebas dan dipercayai terlibat dalam kes kecurian berkenaan. 

Beliau berkata kabel yang dicuri itu dipercayai dijual pada harga RM30 sekilogram kepada peniaga besi buruk, termasuk di dalam dan luar Temerloh. 

Menurut Mohd Nasyim, kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement