Skip to main content

Malaysia

Polis tahan enam remaja termasuk tiga bawah umur disyaki terlibat aktiviti keganasan

Mohd Khalid menunjukkan individu ditahan serta barangan yang dirampas. -- SINAR HARIAN
Mohd Khalid menunjukkan individu ditahan serta barangan yang dirampas. - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daish di negara ini dengan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur menerusi operasi khas baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun ditahan dalam operasi dilancarkan oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Feb di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.

Advertisement

“Siasatan mendapati suspek bukan sahaja telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan Daish malah aktif memberi sokongan, merekrut ahli baharu dan memiliki bahan propaganda kumpulan pengganas itu.

“Lebih membimbangkan, mereka turut dikesan merancang serangan ke sasaran strategik termasuk balai polis, lokasi penting kerajaan dan fasiliti kepentingan awam dalam negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Hadir sama Pengarah Cawangan Khas Datuk Ibrahim Darus dan Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism (E8) Datuk Azman Abd Razak.

Dalam operasi itu, Mohd Khalid berkata polis merampas pelbagai peralatan termasuk 11 unit telefon bimbit, komputer riba, bendera kumpulan pengganas dan buku berunsur ekstremis.

Beliau berkata kecenderungan suspek melayari kandungan media sosial berkaitan krisis geopolitik di Asia Barat dan minat mendalam terhadap permainan dalam talian, khususnya Roblox menjadi titik awal pembentukan minda radikal mereka.

Beliau berkata platform permainan itu dan aplikasi komunikasi seperti Discord, Telegram serta WhatsApp digunakan untuk menyebarkan ideologi ekstremis dan membincangkan perancangan serangan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Pendedahan berterusan kepada kandungan negatif di platform digital mempengaruhi emosi dan tingkah laku mereka sehingga mendorong kepada tindakan impulsif dan agresif seawal usia remaja,” katanya. 

Mohd Khalid berkata kumpulan itu mempunyai hubungan dengan kumpulan sembang menerusi aplikasi komunikasi yang menyokong Kumpulan Daish di negara luar yang dianggotai sehingga 1,000 orang.

Beliau berkata kesemua suspek disiasat mengikut Bab 6A Kanun Keseksaan bagi kesalahan berkaitan keganasan mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Pihak pendakwaan bersetuju untuk menuduh semua suspek di mahkamah pada minggu hadapan atas pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 130J kerana mempromosi kumpulan pengganas dan Seksyen 130JB kerana memiliki bahan berkaitan keganasan,” katanya.

Mohd Khalid berkata PDRM akan terus menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki-baki individu atau pengaruh pihak luar yang cuba mengeksploitasi golongan muda di Malaysia.

Beliau menasihatkan ibu bapa agar memantau aktiviti anak, terutamanya pergaulan dalam alam maya bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan ideologi yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video