PASIR GUDANG: Polis menahan seorang wanita dipercayai pekerja sebuah taska di Bandar Bestari Perdana di sini, bagi membantu siasatan kes membabitkan pengabaian seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun pada 25 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata wanita tempatan berumur 29 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang di sini pada 2.15 petang Selasa lepas.

Beliau berkata penahanan dibuat susulan laporan polis ibu mangsa yang berusia 28 tahun pada 3.50 petang 25 Ogos.

"Hasil semakan mendapati wanita terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif ujian dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut mengesan rakaman sebuah video tular berdurasi 44 saat menerusi akaun Facebook Mynewshub, yang memaparkan seorang individu mengasari kanak-kanak, dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu.

Mohd Sohaimi berkata wanita terbabit direman selama enam hari bermula 30 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA