Polis tahan tiga individu disyaki terbabit kes curi kabel, pemerasan

Shamsudin berkata serbuan pada 4 pagi itu dibuat selepas polis menerima laporan kes curi kabel pada 17 Okt lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga individu termasuk dua wanita disyaki terbabit kes curi kabel dan pemerasan dalam serbuan di sebuah kondominium di Putrajaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata serbuan pada 4 pagi itu dibuat selepas polis menerima laporan kes curi kabel pada 17 Okt lepas.
Beliau berkata semakan mendapati lelaki yang ditahan mempunyai 16 rekod jenayah lampau dan positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua wanita dipercayai terbabit kes pemerasan yang dilaporkan di Tapah, Perak.
"Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux turut menemukan barangan dipercayai digunakan bagi kegiatan mencuri kabel," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Shamsudin berkata ketika serbuan itu, beberapa individu lain melarikan diri menggunakan dua kenderaan masing-masing jenis Proton X50 dan Perodua Ativa.
"Pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan barang digunakan untuk kegiatan mencuri kabel serta beberapa barang yang ada kaitan dengan kes mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan (rompakan bersenjata) dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan)," katanya.
Beliau berkata kes kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


