KUANTAN: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian merusuh, menolak dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis serta memukul orang awam di lokasi kemalangan di kilometer 127 Jalan Kuala Lumpur - Kuantan, di Temerloh.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata ketiga-tiga suspek yang ditahan semalam itu berusia antara 37 dan 47 serta dipercayai ahli keluarga mangsa kemalangan dengan ada antara mereka mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan pergaduhan dan merusuh.

"Polis kini sedang mengesan dua lagi suspek untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media selepas Program "Kick-Off" Pencegahan Jenayah Gempur Dadah 2024 peringkat Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sagu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemandu kereta Perodua Myvi iaitu warga emas berusia 75 tahun yang terbabit dalam nahas itu, turut ditahan dan diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Semalam Bernama melaporkan, polis mengesan sekumpulan lelaki yang terlibat dengan insiden tersebut selepas berlaku kemalangan yang mengakibatkan seorang remaja lelaki berusia 20 tahun maut di lokasi kejadian.

Mangsa yang bekerja di kedai besi buruk disahkan maut akibat parah di kepala dan kaki kanan selepas motosikalnya dipercayai melanggar sisi sebuah kereta Perodua Myvi yang dikatakan membuat pusingan U di laluan garisan berkembar.

Dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki dipercayai menolak serta menghambur kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis berpangkat sarjan yang ditugaskan ke tempat kejadian, manakala seorang lelaki mendakwa dipukul lima individu kerana merakam kejadian menimpa anggota polis itu.

Sementara itu, Yahaya berkata pihaknya menyasarkan untuk menghapuskan stigma yang mengaitkan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dengan kawasan Felda di Pahang dalam tempoh lima tahun.

Bagi menjayakan objektif itu, beliau berkata pihaknya giat menjalankan program kesedaran dan pendidikan tentang bahaya dadah dari semasa ke semasa khususnya bagi golongan muda Felda kerana tangkapan melibatkan penyalahgunaan dadah dapat dilihat seawal usia 15 tahun.

"Sebelum ini, asal dengar tentang Felda pasti ia dikaitkan dengan ramai penagih, jadi kita hendak hapuskan stigma itu dengan memastikan Felda bebas dadah.

"Selain penduduk setempat, pendatang luar yang datang untuk bekerja juga dikesan melakukan aktiviti tidak sihat ini dan kebiasaannya dadah digunakan di kawasan Felda ialah syabu, ekstasi dan pil yaba," katanya.

Menurutnya tahun lepas kawasan Felda mencatatkan 236 tangkapan atau bersamaan 41 peratus daripada keseluruhan tangkapan bagi Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

-- BERNAMA