KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 tangkapan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang diadakan pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, menerusi operasi itu, sebanyak 5,953 saman telah dikeluarkan kepada pesalah jalan raya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenakan tindakan ialah meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki atau di garisan putih iaitu sebanyak 203 saman dan berhenti di petak kuning (5 saman).

Kata beliau, sebanyak 106 saman dikeluarkan kerana tiada lesen memandu, tidak mematuhi lampu isyarat merah (41 saman), tiada lesen memandu melibatkan warga asing (4 saman) serta nombor pendaftaran kabur atau fancy (20 saman).

"Melibatkan kesalahan halangan lalu lintas, sebanyak 4,647 saman telah dikeluarkan dan sejumlah 927 saman dikenakan atas kesalahan lain.

"Jumlah keseluruhan operasi yang digerakkan oleh PDRM pada Ahad adalah sebanyak 16 operasi dengan kekuatan 40 pegawai dan 664 anggota," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sarifudin berkata, Op Utama yang dijalankan melibatkan had laju kenderaan dan pematuhan lampu isyarat, seterusnya operasi lain seperti Op Motosikal, Op Samseng Jalanan, Op Parkir Haram, Op Mabuk, Op Khas, Op Pelbagai serta Op Halangan.

Namun begitu katanya, tiada sebarang tindakan sitaan kenderaan dilakukan dalam kesemua operasi tersebut dan hanya 11 tangkapan dibuat ke atas pesalah jalan raya. - Sinar Harian