NATIONAL
Polis tembak mati suspek kes bunuh empat sekeluarga di Batu Maung

Suspek berusia 32 tahun itu ditembak mati pada dalam insiden berbalas tembakan di hadapan sebuah kedai di Air Itam. - Gambar fail
Polis telah menembak mati seorang suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan empat sekeluarga di sebuah kilang ayam di Batu Maung semalam.
Menurut Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Razaruddin Husain @ Rasid, suspek Chung Chun Wah, 32, ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan berhampiran sebuah kedai di hadapan kuil Buddha Kek Lok Si di Air Itam, di sini sekitar 7 malam tadi.
"Selepas menerima maklumat daripada orang ramai, polis menghampiri suspek yang berada dalam kereta Wira Aeroback. Dia kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dan polis kemudian membalas tembakan.
"Dia terbunuh dalam tembak-menembak itu tetapi jika dia tidak menembak ke arah polis, kita akan memberkasnya," kata Razaruddin pada sidang media di tempat kejadian.
Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Kes tersebut dianggap selesai dengan kematian suspek tersebut.

Chung Chun Wah, 32, diburu polis sejak awal pagi semalam selepas dia menembak mati empat anggota keluarganya. - Foto PDRM
Dalam kejadian awal pagi Rabu, Chun Wah dipercayai menembak mati empat ahli keluarga sendiri selepas berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian di sebuah kilang memproses ayam.Mangsa yang maut disahkan sebagai, Toh Hock Choon, 50, yang juga pemilik kilang; teman wanitanya, Tan Saw Sim, 50, anak lelaki Saw Sim, Chung Wah Thong, 27 dan cucunya yang dikenali sebagai Ah Bee, 2 tahun.
Suspek, yang juga anak kedua mangsa wanita menggunakan pistol jenis semi-automatik ketika melepaskan beberapa das tembakan sebelum bertindak melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam tweetnya turut mengucapkan syabas terhadap kejayaan itu.
"Syabas STAFFOC@PDRMsia tumpaskan penjenayah selepas berbalas tembak di Air Itam Pg tadi. Suspek disyaki terlibat kes bunuh empat sekeluarga," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami