IPOH: Polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah yang aktif tidak sampai sebulan selepas menahan lima lelaki di dua lokasi berasingan di sekitar Ipoh bersama dadah bernilai RM1.57 juta pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 25 tahun di tepi jalan, Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat dekat sini, pada jam 9.15 malam.

Katanya hasil pemeriksaan di dalam sebuah kereta, pihak polis menemukan pelbagai jenis dadah jenis Ketamine dan Methamphetamine dengan anggaran berat lebih daripada 20 kilogram (kg).

“Pihak polis berjaya menemukan dadah dipercayai jenis Ketamine anggaran berat 26.18 kg; cecair disyaki dadah Ketamine anggaran berat 3,350 milliliter (ml); dan dadah Methamphetamine anggaran berat 1.82 gram (g).

“Susulan dari serbuan tersebut, pihak polis juga telah menahan dua lelaki yang berumur lingkungan 21 hingga 27 tahun di sebuah rumah di Kampung Rapat, yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis Ketamine,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini, pada Jumaat.

Menurutnya lagi, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati empat suspek positif dadah jenis tetrahdyrocannabino (THC) sementara seorang negatif daripada sebarang dadah.

Katanya hasil semakan turut mendapati empat daripada mereka mempunyai pelbagai rekod lampau berkenaan kesalahan jenayah dan dadah manakala seorang suspek tidak mempunyai rekod lampau.

“Daripada kelima-lima suspek yang ditangkap, tiga daripada mereka bekerja sebagai penjaga stor kilang, tukang cuci kenderaan, serta kelindan lori sementara dua penganggur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata pihaknya turut menyita sebuah kereta, dua motosikal dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM30,380 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket ini dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal September ini.

“Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak yang mana dianggarkan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 52,352 orang penagih dadah,” katanya lagi.

Mohd Yusri berkata kelima-lima suspek direman selama tujuh hari bermula 21 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.