Skip to main content

Malaysia

Polis tumpas dua sindiket antarabangsa, rampas bunga ganja RM12.6 juta

Shah Alam , 8 Mei 2026. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar  pada Sidang Media Ketua Polis Selangor Berhubung Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Mes Pegawai kanan Polis, IPK Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Tiga siri serbuan berasingan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Sepang hujung April lalu, dengan rampasan bunga ganja dianggarkan bernilai RM12.6 juta. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi tiga siri serbuan berasingan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Sepang hujung April lalu, dengan rampasan bunga ganja dianggarkan bernilai RM12.6 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor bersama IPD KLIA dan IPD Sepang berjaya menahan tujuh suspek warga asing berusia antara 18 hingga 27 tahun.

Menurut beliau, dalam operasi pertama pada 28 April lalu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing selepas pihak polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA mengesan empat bagasi mencurigakan di terminal KLIA.

“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi tersebut membawa kepada rampasan 64 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 67.2 kilogram dengan nilai rampasan sekitar RM5.4 juta.

“Polis turut merampas wang tunai RM580, mata wang asing 20 euro dan sebuah jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Ketua Polis Selangor Berhubung Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di IPK Selangor, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada empat suspek positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi kedua pada 30 April pula, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an ditahan selepas dua bagasi mencurigakan dikesan di KLIA.

“Hasil pemeriksaan menemukan 59 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja seberat 29.5 kilogram dengan nilai rampasan sekitar RM2.4 juta,” katanya.

Suspek turut didapati positif dadah dan kini direman bagi membantu siasatan.

Shazeli berkata, hasil risikan susulan daripada tangkapan kedua membawa kepada serbuan ketiga di sebuah premis kediaman di Kota Warisan, Sepang pada hari sama.

Dalam serbuan itu, dua lelaki warga asing berusia antara 19 hingga 25 tahun ditahan bersama empat bagasi mengandungi 109 bungkusan plastik disyaki bunga ganja seberat 60 kilogram bernilai kira-kira RM4.8 juta.

“Secara keseluruhan, ketiga-tiga operasi ini membawa kepada rampasan bunga ganja seberat 156.7 kilogram yang dianggarkan mampu menampung penggunaan lebih 523,000 pengguna.

“Kita percaya semua dadah ini untuk dibawa keluar dari Malaysia ke pasaran Eropah,” katanya lagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial sebelum dipercayai direkrut sebagai keldai dadah dengan tawaran upah lumayan mencecah antara 3,000 hingga 5,000 euro(bersamaan RM 22 000)  dan sehingga 5,000 pound sterling (bersamaan RM 26 000).

Katanya, polis turut percaya sindiket berkenaan mempunyai rangkaian antarabangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah terbabit.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran membawa bagasi atau barangan milik individu lain tanpa mengetahui kandungannya kerana boleh membawa implikasi undang-undang yang serius.

Must Watch Video