MALAYSIA
Polis tumpas sindiket akaun keldai, tiga ditahan

Noor Hisam berkata turut dirampas sejumlah telefon bimbit yang mengandungi aplikasi perbankan dan sejumlah kad ATM. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Polis menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan akaun keldai selepas menahan tiga individu dalam operasi khas di Ipoh, Perak dan Pandan Indah, Selangor pada 3 Sept lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin dalam kenyataan hari ini berkata kejayaan itu susulan kes seorang suri rumah berusia 58 tahun yang menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon pada 12 Ogos lepas.
Beliau berkata suspek telah menyamar sebagai pihak berkuasa dan mendakwa akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti jenayah kewangan, sebelum mangsa yang takut serta terperdaya menyerahkan kad ATM miliknya kepada pihak sindiket serta wang berjumlah RM240,000 dikeluarkan daripada akaun tanpa pengetahuannya.
Menurut Noor Hisam, bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar telah menjalankan operasi khas di Ipoh dan Selangor."Hasil operasi, polis berjaya menahan tiga individu dipercayai ahli sindiket penipuan dalam talian. Antara peranan mereka adalah merekrut individu sebagai 'keldai akaun' untuk membuka akaun digital bank sebelum disalahgunakan oleh sindiket penipuan," katanya.
Noor Hisam berkata turut dirampas sejumlah telefon bimbit yang mengandungi aplikasi perbankan dan sejumlah kad ATM.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket terbabit membayar sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap akaun yang berjaya dibuka menggunakan butiran peribadi pelanggan.
Menurutnya kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara minimum setahun dan tidak lebih dari 10 tahun, jika sabit kesalahan.
"Polis Diraja Malaysia menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak pernah membuat panggilan telefon untuk mengarahkan pemindahan wang atau penyerahan barang kemas.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan akaun bank, nombor pin atau kata laluan kepada pihak lain kerana pemilik akaun boleh ditangkap dan didakwa di bawah undang-undang sekiranya akaun tersebut digunakan untuk jenayah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami