SHAH ALAM: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan 10 lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM10.4 juta di sekitar Klang dan Sungai Buloh, dekat sini, pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata jenis dadah yang dirampas ialah ganja seberat 261.766 gram (g), heroin (216.051 g) dan heroin base (15.498 g) yang boleh dibekalkan kepada 2.38 juta penagih.

"Selain itu, polis menyita empat buah kenderaan jenis Toyota Vellfire, Honda Stream dan dua Honda City serta menyita sebuah akaun bank dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM269,229," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Hussein berkata kesemua 10 lelaki warga tempatan yang ditahan dipercayai ahli sindiket berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun manakala hasil saringan ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah.

Beliau berkata lima daripada 10 suspek berkenaan juga memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah lain.

Menurut Hussein, pihaknya percaya dadah berkenaan diseludup masuk dari negara jiran di sebelah utara dan sindiket itu telah bergiat aktif mengedar dadah sejak awal Januari tahun ini.

Beliau berkata kejayaan menumpaskan sindiket berkenaan adalah hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Shah Alam.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 3 Nov bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA