IPOH: Polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Hilir Perak.

Ia susulan rampasan dibuat terhadap sembilan kilogram bahan disyaki dadah jenis heroin dalam operasi di sebuah rumah di Langkap, pada Isnin malam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun yang berada di dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, operasi dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, kira-kira jam 9.30 malam.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menjumpai satu beg beroda berzip warna ‘rose gold’ tidak berjenama, di dalamnya terdapat 20 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin.

"Jumlah keseluruhan anggaran berat ialah sembilan kilogram, dianggar bernilai RM110,000.

“Ujian saringan awal air kencing telah dijalankan dan suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Foto Astro AWANI

Menurut Mohd Yusri, berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket itu dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Mac lalu.

Katanya, dadah yang dirampas disyaki diperolehi dari negeri jiran sebelah selatan dan dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 11,000 orang penagih.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman tujuh hari sehingga 27 Mei depan bagi membantu siasatan.

Mohd Yusri berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama yang berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan, khususnya polis.