BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup tanpa cukai bernilai RM7.84 juta serta menahan 12 lelaki warga tempatan dalam serbuan di tiga lokasi di negeri itu.

Serbuan di tiga lokasi di Machang Bubok dan Bukit Tengah pada Sabtu lepas dibuat selepas risikan mendapati sindiket itu menjadikan rumah sewa di kawasan perumahan sebagai 'markas' aktiviti berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, aktiviti berkenaan berjaya dikesan pihak polis menerusi Operasi Kontraban yang dijalankan polis dari Bahagian Khas (D8) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dengan kerjasama beberapa anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

Dalam operasi bermula jam 5 pagi itu, pihak polis berjaya menemui lebih empat juta batang rokok putih dan 691,200 batang rokok kretek yang di simpan di dalam rumah berkenaan.

Hasil siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak empat bulan lepas.

"Rokok tersebut dijumpai atau dirampas di tiga buah rumah teres yang mana rumah-ruah ini dihuni oleh suspek-suspek yang kita tangkap. Kami percaya, aktiviti ini telah bermula sejak empat bulan lepas," ujar Sahabudin. 

Selain rampasan rokok, sembilan buah kenderaan pelbagai jenis bernilai RM236,000 turut disita dengan keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM8.04 juta.

Menurutnya, kesemua rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan untuk pasaran di bahagian utara tanah air.

Sahabudin berkata, siasatan awal setakat ini mendapati sindiket berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran rokok yang ditahan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini.

Lima yang ditangkap mempunyai rekod jenayah melibatkan pelbagai kesalahan termasuk judi, dadah dan kesalahan Akta Kastam.

Kesemua suspek berusia 18 hingga 38 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Selain itu, Sahabudin berkata mereka juga boleh didakwa di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.3) 2021 yang boleh dikenakan kompaun RM5,000.