KANGAR: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Perlis yang menggunakan Hutan Simpan Persekutuan Institut Penyelidian Perhutanan Malaysia (FRIM) di Padang Besar sebagai tempat transit menyembunyikan bahan terlarang itu.

Ia susulan serbuan polis yang berjaya merampas merampas 528 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM19 juta pada Rabu lalu.

Dalam operasi itu, empat lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, operasi bermula apabila anggota polis JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di sebuah rumah di sekitar Padang Besar.

“Hasil soal siasat suspek membawa kita kepada satu tempat penyimpanan sejumlah besar dadah di kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM di Jalan Tasoh-Kaki Bukit-Padang Besar.

“Pemeriksaan kita di kawasan berkenaan menemui sebuah troli besi yang ditutupi oleh ranting dan daun terbiar di situ dan pemeriksaan selanjutnya menjumpai 20 guni yang berjahit di dalamnya terdapat 480 bungkusan plastik teh Cina yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 528 kg.

“Susulan daripada tangkapan berkenaan akhirnya membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit,” katanya pada sidang media di IPK Perlis, di sini pada Isnin.

Katanya, siasatan polis mendapati sindiket berkenaan aktif sejak setahun lalu dan menggunakan laluan Hutan Simpan Persekutuan FRIM itu sebagai transit untuk membawa masuk bekalan syabu itu dari negara jiran.

“Bekalan syabu itu dipercayai diperolehi dari negara Thailand dan ia dibawa masuk menggunakan ‘laluan tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand yang hanya sekitar tiga kilometer (km) sahaja dari hutan simpan berkenaan manakala jaraknya dengan jalan utama adalah sekitar dua km sahaja dan sememangnya ada akses untuk kenderaan masuk ke lokasi itu untuk membawa bekalan dadah itu pergi.

“Syabu itu kemudian akan diedarkan dan dipasarkan di keseluruhan kawasan Pantai Barat Semenenanjung Malaysia di mana jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 2.6 juta orang penagih dadah,” katanya.

Kamarudin berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada terdapat pembabitan kakitangan penyelia hutan berkenaan.

“Selain itu juga, kita turut meneliti sama ada terdapat dalang kes ini dalam kalangan empat suspek yang ditahan itu dan kita juga sedang mengesan saki baki individu atau anggota sindiket yang terbabit.

“Dalam serbuan yang dilakukan juga, kita turut merampas jam tangan, wang tunai, lapan buah motosikal dan tiga buah kereta, sebuah pacuan empat roda dan sebuah jengkaut yang dipercayai digunakan ahli sindiket untuk membawa masuk bekalan syabu itu,” katanya.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing suspek mendapati kesemua mereka positif dadah jenis ketamine dan syabu serta suspek turut mempunyai pelbagai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 10 dan 11 Januari lalu dan dijangka akan disambung reman bagi membantu siasatan.

“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM19 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.