KULIM: Polis Kulim berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang bergiat aktif di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, dengan penangkapan dua lelaki yang dikenali ‘Geng Arvind’ itu, polis percaya telah berjaya menyelesaikan beberapa kes samun yang dilaporkan sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal serta serangkai kunci dan topi keledar yang digunakan ketika kejadian serta rampasan sehelai jaket yang disyaki digunakan oleh suspek ketika melakukan kegiatan itu.

"Dengan tertangkapnya dua suspek berusia 26 dan 27 tahun ini, polis berjaya membongkar kumpulan samun yang aktif melakukan jenayah samun di daerah ini yang memberi kesan kurangnya kes jenayah samun di sini.

"Bagaimanapun hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, terdapat lebih 10 kes yang dikenal pasti membabitkan kumpulan ini dalam kejadian samun di daerah Kulim.

Beliau berkata, kumpulan ini menggunakan hasil daripada aktiviti jenayah samun mereka untuk membeli bekalan dadah jenis syabu.

"Bagi kejadian samun yang berlaku, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan ketika samun berkawan) dan sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

"Kedua-suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 10 April ini," katanya.

Azhar berkata, modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan bergerak secara berdua dengan menunggang motosikal pelbagai jenis yang disyaki dicuri untuk melakukan jenayah ragut dan samun di sekitar Kulim.

Beliau berkata, suspek akan melakukan pemerhatian di kawasan tempat sibuk seperti pasar pagi dan pasar raya.

"Seterusnya suspek akan melakukan jenayah itu dengan mendapatkan kaum wanita yang berjalan seorang diri sambil memegang beg tangan.

"Selain itu, suspek juga akan memakai topi keledar bervisor penuh bersama pelitup muka untuk mengelak dari dikesan sesiapa," katanya.

Menurut Azhar lagi, ketua kumpulan ini dikenali dengan nama panggilan "Arvind" berusia 27 tahun dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah samun dan dadah.

Beliau berkata, seorang lagi suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun, pecah rumah, curi dan dadah.

"Kesemua suspek tidak bekerja. Sehubungan itu saya menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah samun atau lain-lain kepada polis dengan segera bagi memudahkan sebarang tindakan diambil.

"Orang ramai dinasihatkan supaya jangan memberi ruang kepada penjenayah untuk melakukan kegiatan itu," katanya.