Skip to main content

Malaysia

Polis tumpaskan sindiket dadah, rampas methamphetamine RM2.75 juta di Miri

81749657109_TBPOLISPDRM.jpg
Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Miri dengan penahanan seorang lelaki serta rampasan 55 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine bernilai RM2.75 juta dalam dua serbuan pada 8 Julai lepas. - Foto hiasan
Advertisement

MIRI: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Miri dengan penahanan seorang lelaki serta rampasan 55 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine bernilai RM2.75 juta dalam dua serbuan pada 8 Julai lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata serbuan di sebuah rumah di Jalan Cahaya, Miri Bypass itu membawa kepada penahanan suspek berumur 27 tahun dan rampasan awal 30 kg dadah disyaki methamphetamine.

Beliau berkata susulan tangkapan itu, polis menemukan 25 kg dadah lagi disyaki methamphetamine di sebuah rumah di Jalan Acacia, Miri, selain menyita sebuah kereta Proton Iswara yang digunakan suspek untuk kegiatan pengedaran dadah.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.75 juta dan boleh digunakan oleh kira-kira 275,000 penagih dadah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Zainal berkata siasatan mendapati suspek berperanan sebagai runner sindiket sejak Jun lepas dengan menerima arahan melalui aplikasi Telegram serta menggunakan kaedah penghantaran tanpa bersemuka.

Lelaki itu, katanya, dipercayai menerima upah RM7,000 dan dijanjikan bayaran RM15,000 bagi setiap tugasan penghantaran dadah.

Beliau berkata suspek yang positif methamphetamine serta mempunyai satu rekod kesalahan jenayah dan satu rekod kesalahan dadah telah direman dari 9 hingga 15 Julai sebelum disambung hingga 20 Julai bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement