KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa meminda beberapa akta berkaitan politik wang bagi memberi kuasa lebih besar kepada penguatkuasa dalam melakukan pendakwaan.

Pengerusi Parlimen Belia Kelantan, Khairul Azhar Kamaruzaman mengakui masalah politik wang ketika ini dilihat semakin membarah terutama dalam kalangan ahli-ahli politik.

“Langkah yang paling drastik adalah mana-mana akta yang terlibat dengan politik wang ini perlu dikemas kini dengan lebih kuasa diberikan kepada agensi sedia ada dan lebih jelas supaya mudah untuk pendakwaan.

“Saya juga bersetuju bahawa untuk memastikan isu politik wang ini dapat dikawal, satu akta, khas untuk lompat parti digubal serta-merta.

“Ia bukan untuk kita membunuh demokrasi, tetapi untuk kita selamatkan demokrasi daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.

Ketika ini, terdapat tiga peruntukan undang-undang yang jelas menyebut berkenaan kesalahan politik wang iaitu Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya budaya politik wang berterusan, akan membawa negara ke arah kehancuran.

Politik wang bunuh jati diri negara

Khairul Azhar turut berpendapat, politik wang mampu membunuh sejatinya integriti seseorang itu.

“Kerana politik wang inilah kita telah membunuh demokrasi dgn tidak mengamalkan sejatinya integriti. Dengan politik wang sebeginilah kita bukan sahaja membunuh integriti, tetapi membunuh jati diri negara kita sendiri.

“Ia apabila parti politik itu dipenuhi dengan calon-calon tidak berkualiti. Semuanya naik kerana wang dan bukannya dengan satu pola pemikiran yang matang dan kualiti kendiri yang begitu menjadi satu inspirasi kepada semua pihak.

Justeru, beliau mengingatkan pemain politik di negara ini untuk mengimbas kembali bagaimana politik di Afrika dibunuh serta negara di Eropah bankrap dek kerana politik wang.