JOHOR BAHRU: Membeli juadah makanan seawal 10 pagi, dengan alasan ia sebagai sajian yang dipersiapkan untuk waktu berbuka puasa nanti.

Itulah alasan yang diberikan segelintir individu, selepas mereka didapati tidak berpuasa menerusi Ops Kesan yang dijalankan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di beberapa lokasi, sekitar bandar raya ini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, mendedahkan, masih ada pihak yang tidak mengikut peraturan dan tergamak mencemari bulan mulia Ramadan dengan  menjual makanan seawal jam 10 pagi.

Malah, pihaknya turut mengesan sebilangan pelanggan beragama Islam yang tanpa segan silu, membeli makanan secara terbuka di beberapa lokasi.

"Saya sempat bersalam dengan pembeli, mukanya dah pucat lesi ketakutan, boleh pulak dia kata datang memang nak beli teh ais untuk waktu berbuka. Tindakan tetap diteruskan.

"Tindakan terpaksa diambil pada hari ini setelah lokasi ini banyak kali diadukan sebagai 'lokasi panas' yang menjual makanan kepada orang Islam, biarpun Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah beberapa kali datang memberi nasihat.

"Dalam operasi ini, sebanyak 85 notis dikeluarkan terhadap individu yang didapati makan, minum atau menghisap rokok secara terbuka di tempat awam. Manakala empat notis lagi dikeluarkan kepada peniaga yang menjual makanan, minuman dan rokok dalam tempoh sama," katanya.

Operasi Ops Kesan dijalankan bermula seawal pukul 11 pagi sebelum berakhir pada pukul 2 petang tadi. - Foto JAINJ

Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi bersama 97 anggota di beberapa lokasi sekitar Taman Suria, Kawasan Perindustrian Larkin, Uda Business Centre dan pusat bandar raya Johor Bahru.

Menurut Mohd Fared, operasi itu dijalankan bermula seawal pukul 11 pagi sebelum berakhir pada pukul 2 petang tadi.

Katanya, empat notis diberikan kepada peniaga mengikut Seksyen 15(a) Enakmen Jenayah Syariah 1997, kerana menjual barangan kepada orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpama untuk dimakan, diminum dan dihisap swrta merta dalam waktu itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid yang turut serta dalam Ops Kesan hari ini. - Foto JAINJ

Manakala seramai 85 notis diberi 85 individu mengikut Seksyen 15 (b) Enakmen Jenayah Syariah 1997, bagi kesalahan makan, minum, menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya secara terbuka atau di tempat awam, sepanjang bulan Ramadan.

"Atas kesalahan itu, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

"Kita juga terus menghubungi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi mendapatkan kerjasama dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi sama-sama bertanggungjawab untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Jelas Mohd Fared, dalam Ops itu turut dibuat Ops Kutip, pihaknya menahan seramai 12 orang yang didapati membuat kutipan sumbangan tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

"Manakala bagi tangkapan dibuat menerusi Ops Kutip pula, tindakan diambil mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003, jika bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

"Bagi Ops Kutip itu, didapati pesalah mengutip sumbangan atas nama madrasah, sekolah tahfiz, pusat kebajikan orang Islam dan juga pembinaan masjid," tambahnya.

Sepanjang tahun ini, Mohd. Fared memaklumkan Bahagian Penguatkuasaan JAINJ telah mengambil tindakan terhadap seramai 221 individu atas pelbagai kesalahan jenayah syariah menerusi sejumlah 561 operasi yang telah dijalankan.