BEIJING: Populariti durian Musang King diharap mampu menjadi batu loncatan dalam mempromosikan pelbagai makanan serta budaya Malaysia yang lain kepada masyarakat di China.

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (MayCham), Loh Wee Keng berkata,menerusi Festival Rasa Malaysia yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, antara makanan dan budaya yang diperkenalkan di sini adalah nasi lemak, sate, mi kari Ipoh, tarian singa serta seni persilatan Melayu.

Beliau berkata, selain itu, festival berkenaan yang melibatkan 30 gerai dari Malaysia dan 10 dari Vietnam, Thailand, Indonesia dan China meliputi Beijing serta beberapa wilayah lain, turut mempromosikan sektor pelancongan Malaysia.

"Musang King semakin mendapat perhatian dan permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat di China. Ramai yang menyatakan minat dan tidak sabar untuk mencubanya.

"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari festival yang bertempat di pekarangan pusat beli-belah Taikooli Sanlitun West Beijing dan setakat ini sebanyak 5,000 tiket pratempah dijual dalam tempoh seminggu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, lokasi yang strategik dan menjadi tumpuan orang ramai juga dilihat mampu menarik lebih banyak pengunjung ke festival yang julung kali diadakan itu.

"Seiring dengan nama dan tema festival 'Rasa Malaysia', (saya) berharap pengunjung dapat merasai sendiri budaya Malaysia secara langsung," katanya.

Loh berkata, festival itu yang turut dipromosikan secara dalam talian, bukan sahaja tertumpu kepada masyarakat di negara berkenaan, bahkan kepada badan korporat.

Menerusi penganjuran festival itu juga, katanya, ia diharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik Malaysia-China yang akan memasuki usia 50 tahun, tahun depan.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Festival Rasa Malaysia, Tengku Eliza Ibrahim berharap acara itu mampu menjadi platform mempromosikan lagi keunikan makanan Malaysia kepada masyarakat tempatan.

Beliau yang mengendali gerai pelbagai makanan Malaysia berkata, pihaknya menawarkan menu berbeza sepanjang tiga hari tersebut.

"Pemilihan makanan dibuat berdasarkan populariti dan kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan sate," katanya. - BERNAMA