KUALA LUMPUR: Pendedahan kepada kandungan pornografi pada usia muda boleh memberi kesan serius terhadap perkembangan otak, emosi dan tingkah laku kanak-kanak serta remaja.
Isu itu menjadi semakin membimbangkan apabila Malaysia merekodkan 16,951 kes kehamilan remaja luar nikah melibatkan individu berusia 19 tahun ke bawah bagi tempoh 2020 hingga 2024, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Trend itu dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk kekurangan pendidikan kesihatan reproduktif, pengaruh persekitaran dan pendedahan kepada kandungan seksual pada usia muda.
Pengerusi Pertubuhan Malaysia Membanteras Pornografi (MAP), Dr Fatimah Ahmad Fauzi, berkata pornografi boleh diibaratkan sebagai "dadah alaf baharu" kerana kesannya terhadap otak menyerupai ketagihan dadah.
"Pornografi boleh dianggap sebagai dadah alaf baharu kerana kajian saintifik menunjukkan ia memberi kesan kepada otak sama seperti ketagihan dadah melalui rangsangan hormon dopamin," katanya dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
Beliau yang juga Pensyarah Perubatan & Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia berkata, pendedahan berulang kepada kandungan pornografi boleh menyebabkan seseorang menjadi ketagih, sekali gus menjejaskan pembelajaran, kawalan emosi dan hubungan sosial.
"Apabila pendedahan berlaku secara berulang, ia boleh membawa kepada ketagihan. Kanak-kanak dan remaja mungkin hilang fokus dalam pembelajaran, sukar mengawal emosi, mudah marah serta berisiko mengalami masalah kesihatan mental," tambah beliau.
Beliau turut menegaskan keluarga merupakan benteng perlindungan pertama kepada kanak-kanak dan remaja.
Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam mendidik serta membimbing anak-anak mengenai keselamatan diri, penggunaan internet secara berhemah dan pendidikan reproduktif, seksualiti serta sosial yang bersesuaian mengikut peringkat umur.