Portal 1Malaysia Civil Service Retirement Support (1MCSRS), portal tunggal dalam penyaluran dan pemberian maklumat, pemudah cara serta haluan baharu yang boleh diceburi pesara kerajaan, bakal dilancarkan Jun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata portal yang menyediakan lima kemudahan maklumat kepada pesara kerajaan itu dilancarkan sempena majlis perdana perkhidmatan awam 2014, dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 10 Jun.

"Ia dijangka memberi manfaat kepada 610,000 pesara termasuk 55,000 pesara daripada Angkatan Tentera Malaysia serta anggaran 20,000 jumlah pesara yang bertambah setiap tahun," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Shahidan berkata lima kemudahan maklumat yang diberi tumpuan adalah kelangsungan kesihatan, peluang pekerjaan selepas bersara, pengurusan kewangan, pembangunan keusahawanan serta kesejahteraan pesara.

"Diharap semua pesara akan menggunakan portal ini sepenuhnya bagi menyampaikan sebarang pandangan atau masalah yang dihadapi supaya dengan cara ini kerajaan dapat merancang program mengikut kumpulan sasar dengan lebih berkesan," katanya.

1MCSRS merupakan inisiatif yang diperkenalkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan dan diterajui Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menjaga kebajikan dan membela nasib pesara dalam sektor perkhidmatan awam.