Satu kajian tidak rasmi mendapati ramai dalam kalangan masyarakat berpendapat bahawa negara kita memerlukan akta seperti Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 untuk memerangi isu terorisme dan ekstremisme.

Ketua Penyelidik Jenayah dan Kepolisan USM Prof Madya Dr Sundramoorthy Pathmanathan dalam satu temu bual bersama Astro AWANI berkata, POTA walaupun tidak mampu menangani masalah keganasan hingga ke akar umbi tetapi sekurang-kurangnya memberi peluang untuk menyedarkan mereka yang terlibat dalam aktiviti keganasan melalui program-program pemulihan.

Dalam kajian itu, ramai responden sanggup berkompromi dengan melepaskan sedikit hak dan kebebasan individu atas kepentingan dan keselamatan rakyat dan negara.

“Walaubagaimanapun, ramai juga yang risau akan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan penguatkuasa sebab mereka mengaitkan POTA dengan ISA (akta keselamatan dalam negeri)”.

Tambah beliau, untuk menukar ideologi seseorang itu bukan satu perkara yang mudah dan tanggapan masyarakat yang POTA ini boleh menyelesaikan masalah keganasan adalah salah.

Di talian, untuk analisis kelulusan Rang Undang-Undang POTA ini adalah Ketua Penyelidik Jenayah dan Kepolisan USM Prof Madya Dr Sundramoorthy Pathmanathan.