P.Pinang ajak orang awam, profesional beri pandangan Rancangan Struktur Negeri 2040

Chow berkata program itu adalah untuk menerangkan mengenai RSNPP 2040 yang dikaji semula setiap 10 tahun dan ini adalah peluang bagi pihak berkepentingan menyuarakan pandangan terhadap masa depan negeri. - Gambar fail/Facebook Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengajak orang ramai termasuk persatuan profesional dan pihak berkepentingan untuk tampil memberikan pandangan dalam program publisiti dan penyertaan awam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2040 (Kajian Semula) khususnya berkaitan dasar pembangunan cerun.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pulau Pinang mengajak orang ramai dan pihak berkepentingan untuk memberi pandangan dalam program publisiti Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2040 khususnya berkaitan dasar pembangunan cerun.
- Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, menegaskan bahawa sesi publisiti RSNPP 2040 adalah peluang untuk pihak berkepentingan menyuarakan pandangan terhadap masa depan negeri, termasuk dasar pembangunan cerun.
- Pembaharuan RSNPP 2040 turut melibatkan penambahbaikan termasuk kajian semula dasar ketinggian pembangunan serta penyelarasan kawasan sensitif alam sekitar, walaupun beberapa pihak seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan tindakan ini sebagai berisiko terhadap keselamatan.
''Kita ambil maklum semua cadangan atau pandangan yang dikemukakan oleh rakyat, pertubuhan dan pihak berkepentingan, inilah masanya untuk mereka menyuarakan pendapat terhadap masa depan negeri,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Replika Cek Bantuan Kewangan Tabung Amanah/RIBI Pulau Pinang di Auditorium F Komtar, di sini hari ini.
Chow berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung bantahan Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang menyifatkan langkah kerajaan negeri mempertimbangkan perubahan terhadap dasar pembangunan cerun bukit sebagai tindakan tidak bijak dan boleh mengundang risiko keselamatan lebih besar pada masa depan.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye melancarkan RSNPP 2040 yang akan melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk kajian semula dasar ketinggian pembangunan dan penyelarasan kawasan sensitif alam sekitar.
H'ng dilaporkan berkata antara perkara dinilai ialah dasar pembangunan melebihi 76 meter (m) daripada paras laut yang sebelum ini tidak dibenarkan dan kajian itu turut mengambil kira kekangan sebenar negeri, terutamanya berkaitan kekurangan tanah dan kewujudan banyak kawasan sensitif alam sekitar.
Mengulas lanjut mengenai gesaan pihak tertentu yang membantah cadangan mengkaji semula dasar pembangunan cerun, Chow berkata kerajaan negeri mahu mendapatkan justifikasi teknikal yang lebih kukuh mengenai paras ketinggian yang dibenarkan.
Beliau berkata ini kerana garis panduan sedia ada yang menetapkan had pembangunan pada 76 m atau 250 kaki dari paras laut ditetapkan puluhan tahun lepas tanpa rekod jelas bagaimana ia ditentukan.
''Kita tidak mendapat apa justifikasinya paras itu ditetapkan, negeri lain seperti Wilayah Persekutuan menggunakan had 500 kaki maka, sesi publisiti adalah ruang untuk pihak berkepentingan termasuk institut jurutera, persatuan arkitek dan persatuan perancangan bandar memberikan pandangan berdasarkan kepakaran masing-masing,'' katanya.
Chow berkata pembangunan di kawasan cerun bukanlah sesuatu yang baharu di negeri ini kerana projek-projek infrastruktur tertentu melebihi had ketinggian yang ditetapkan itu pernah diluluskan sebelum ini, namun ia tertakluk kepada syarat yang ketat.
''Kalau sebuah lebuh raya boleh dibenarkan, kita kena lihat juga rasionalnya jika dibandingkan dengan pembangunan lain seperti perumahan dan soal ini memerlukan pandangan teknikal yang mendalam,'' katanya.
Sementara itu, Presiden SAM R.Meenakshi dalam kenyataan berkata SAM membantah sebarang usaha menyemak semula dasar dalam RSNPP 2030 yang ketika ini melarang pembangunan di kawasan cerun melebihi 76 meter atau kecerunan lebih 25 peratus.
Katanya dasar sedia ada dilaksanakan selepas beberapa kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun yang meragut nyawa serta memusnahkan kediaman di negeri ini.
"Kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan sepatutnya memperkukuh usaha meningkatkan ketahanan iklim bukannya melemahkan kawal selia pembangunan di kawasan berisiko.
"SAM akan mengemukakan maklum balas terhadap publisiti laporan kajian semula RSNPP 2040 dan bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil lain bagi meningkatkan kesedaran rakyat Pulau Pinang untuk menolak cadangan perubahan dasar tersebut," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


