KUALA LUMPUR: Sarawak dan Kelantan akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 3 Januari tahun depan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ia diputuskan selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Dengan peralihan fasa bagi kedua-dua negeri berkenaan, bermakna kesemua negeri di Malaysia telah beralih ke Fasa 4 PPN.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Hishamuddin bagaimanapun menyeru kepada orang ramai agar tidak berasa terlalu selesa susulan COVID-19 masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.

Beliau menegaskan semua pihak harus terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab.

"Pakai pelitup muka, amal penjarakan fizikal, dapatkan dos penggalak sekiranya layak, lakukan ujian pengesanan COVID-19 secara berkala dan amalkan TRIIS dengan sebaik mungkin.

"Dalam pada itu, saya ingin memaklumkan, Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 PPN adalah sama dengan sebelum ini.

"Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my," ujarnya.

Beliau turutt mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Tahun 2021 sarat dengan ujian dan cabaran namun alhamdulillah kita telah dapat laluinya bersama-sama. Marilah kita doakan, semoga tahun 2022 menjadi tahun yang lebih bermakna buat diri, keluarga dan negara insyaAllah," katanya.