KUALA LUMPUR: Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM) hari ini membuat laporan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi menggesa siasatan dijalankan.
Ia berhubung dakwaan ketirisan dan kegagalan penyaluran peruntukan berjumlah ratusan juta ringgit kepada masyarakat India menerusi program Pemerkasaan Usahawan India (SEED) dan Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC).
Pengerusinya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa peruntukan itu, yang disediakan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak disalurkan secara telus dan sehingga kini tidak diterima sepenuhnya oleh masyarakat India.
Menurutnya, pihak yang diamanahkan untuk mengurus dan menyalurkan dana berkenaan perlu dipertanggungjawabkan walaupun kerajaan dan kepimpinan negara telah bertukar.
"Di mana dana itu yang berjumlah ratusan juta ringgit? NGO mana yang terlibat menerima dana tersebut? Hari ini masyarakat India masih tidak menerima manfaat yang sepatutnya daripada peruntukan itu.
"Sebagai pemimpin negara, tidak kira siapa Perdana Menteri ketika itu, peruntukan telah disediakan untuk masyarakat India. Namun malangnya kaum itu (didakwa) tidak menerima manfaat yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.
Syed Muhammad Imran turut menggesa MIC yang mewakili masyarakat India ketika era pentadbiran BN tampil memberi penjelasan berhubung isu tersebut.
Menurut beliau, MIC sebagai parti yang menjadi wakil utama masyarakat India ketika itu tidak boleh mengelak daripada memikul tanggungjawab terhadap persoalan yang dibangkitkan.
"Kalau kita lihat ketika BN memerintah, the mother of masyarakat India adalah MIC. Sebab itu MIC perlu bertanggungjawab menjelaskan perkara ini.
"Jika parti itu tidak terlibat dengan dana tersebut sekalipun, sebagai parti yang mewakili masyarakat India ketika itu mereka perlu memberikan penjelasan," katanya lagi.
Sehubungan itu, dia berharap SPRM dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan segala peruntukan yang disediakan untuk pembangunan sosioekonomi masyarakat India diuruskan secara telus dan berintegriti.
Media pada 2019 melaporkan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1 2018 mendedahkan salah tadbir dana berjumlah jutaan ringgit disalurkan kepada Unit Khas bagi SEDIC di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India dari 2014 hingga 2018.
Menurut LKAN, SEDIC yang ditubuhkan pada 7 Mei 2014, diberikan peruntukan RM203.89 juta bagi memberi latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan dan peningkatan pencapaian pendidikan kepada masyarakat India dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40) dari tahun 2014 hingga 2018.