KOTA BHARU: Situasi banjir di Kelantan pulih sepenuhnya apabila Pusat Pemindahan Sementara, PPS di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang ditutup hari ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak lagi merekodkan jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat petang ini.

Polis Kelantan pagi tadi memaklumkan 45 keluarga masih lagi berlindung di sebuah PPS, namun pada sebelah petang hari ini, kesemua PPS di Kelantan telah pun ditutup.

Banjir paling buruk yang melanda Rantau Panjang bulan lalu menyebabkan lebih 10,000 mangsa banjir dari Rantau Panjang dipindahkan manakala lima buah rumah dihanyutkan serta puluhan rumah mengalami kerosakan.

Ketika ini penduduk Rantau Panjang sudah mula menilai kerosakan peralatan, mengemaskan kediaman mereka, membaik pulih kenderaan yang ditenggelami air susulan pasca banjir gelombang kelima lalu.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun memaklumkan lebih 1,300 laporan polis diterima Polis Kelantan bermula banjir sehingga hari ini.

"Kesemua laporan yang diterima Polis Kelantan berkaitan kerosakan harta benda, kemusnahan tanaman, kehilangan ternakan dan sebagainya," katanya.

Terdahulu beliau bersama lebih 50 sukarelawan, anggota polis dari Ibupejabat Polis Daerah Tumpat, anggota Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor dan kakitangan Sekolah Menengah Agama (Arab) Nurul Huda Kajang Sebidang, Tumpat hadir membantu membersihkan sekolah yang ditenggelami air.

Beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan kurniaan Dr Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra kepada kakitangan, guru, dan sebahagian penduduk berhampiran.

Sementara itu, menurut Pengetua SMK Agama (Arab) Kajang Sebidang, Ariffin Misk sewaktu banjir baru-baru ini sekolah berkenaan tenggelam melebihi 1.5 meter.

Katanya kesemua peralatan sekolah ditenggelami air, dengan anggaran awal kerugian melebihi RM40,000.

Sekolah berkenaan mempunyai lebih 300 pelajar dengan 45 daripadanya merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Calon SPM dari Sekolah Menengah Agama (Arab) Nurul Huda menduduki SPM di Pusat Peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat, Tumpat," katanya.

Pihaknya bersama sukarelawan, Polis dan Bomba membersihkan persekitaran sekolah untuk persediaan pembukaan sekolah pada 4 April depan.