KUALA LUMPUR: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi berskala besar di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini mampu menerima kira-kira 8,000 pengunjung setiap hari.

Pengurus PPV Axiata Arena Bukit Jalil, Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi, berkata daripada jumlah tersebut ianya melibatkan 4,000 orang di setiap laluan HCO yang dibahagikan kepada dua iaitu HCO A dan HCO B.

Jelasnya lagi, usaha yang sedang dilaksanakan itu juga adalah selaras dengan kehendak kerajaan bagi meningkatkan kadar penerima pelalian.

"Hari ini adalah hari pertama bagi PPV Integrasi Axiata Arena dengan kapasiti seramai 8,000 orang iaitu 4,000 untuk HCO A dan 4,000 lagi di HCO B.

"Setakat  jam 12 tengah hari tadi, sekitar 900 hingga 1,000 orang penerima bagi setiap HCO dan jumlah secara keseluruhannya adalah lebih kurang 2,000 telah menerima vaksin dos penggalak," katanya kepada Astro AWANI.

Dia ditemui di PPV Integrasi Axiata Arena Bukit Jalil bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) (PICK-B) yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, pada Sabtu. 

Di samping itu, Dr Muhd Fadhli menambah, lebih 300 petugas dan sukarelawan yang terdiri daripada Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut membantu untuk  program imunisasi di PPV tersebut,

Pada masa sama, Dr Muhd Fadhli berkata PPV itu dijadualkan akan ditutup pada cuti umum seperti perayaan Thaipusam pada 18 Januari dan Tahun Baru Cina, selama dua hari. 

Sebanyak 8,000 dos vaksin AstraZeneca akan disediakan di lokasi berkenaan setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 9 malam yang dijadualkan bermula pada 15 Januari sehingga 15 Mac 2022.